tazkirah subuh:peranan hati
Bismillah..Assalamualaikum wrt wbt, selamat pagi saya ucapkan..kepada semua pembaca, semoga sentiasa bersama-sama keredhaan Allah swt.
InsyaAllah pagi ini saya ingin menyentuh sedikit berkenaan HATI dan PERANANNYA.
Hati itu adalah seketul daging yang kecil di dalam badan yang besar. Walaupun bentuknya kecil, akan tetapi pengaruh dan peranannya terlalu besar di dalam kehidupan seharian yang bernama Manusia. Kerana, hati inilah yang menentukan perbuatan sesuatu perkara, samaada ada sesuatu perkara yang dianggap besar ataupun kecil, jahat atau baik dan sebagainya. Maka, disebabkan peranannya yang terlalu besar di dalam mencorak dan membentuk kehidupan insani inilah, Nabi Muhammad saw berpesan kepada kita melalui sabdanya supaya kita sentiasa berusaha untuk mensucikan hati dan memeliharanya daripada fitnah dan kesesatan. Kesemua perkara telah jelas dengan apa yang telah disabdakan oleh Baginda saw:
"Dan ketahuilah bahawa pada setiap jasad itu ada seketul daging sekiranya ia baik, baiklah seluruh jasad itu, dan sekiranya ia rosak, rosaklah seluruh jasad itu"
kefahaman yang boleh disimpulkan melalui hadis Baginda saw ini, segala-segalanya bermula dari hati, samaada perkara-perkara yang terdetik di dalam hati itu perkara-perkara yang baik ataupun sebaliknya. Dan, kerana hatilah berpunca gerak-geri dan perilaku manusia.
Jikalau ianya boleh diibaratkan kepada sebidang tanah ataupun ladang tanaman, dan anggota badan manusia pula iibaratkan seperti tumbuh-tumbuhannya. Bila tanah itu tidak subur atau kering kontang(keras), tentulah tumbuh-tumbuhan tidak dapat menghasilkan penghasilan yang baik.
Oleh yang demikian, bolehlah sekiranya saya katakan sebagai kesimpulannya, seluruh perilaku manusia ini bergantung kepada apa yang diniatkan di dalam hatinya. Maka, jelaslah, mengapa hadis tadi menganjurkan kepada kita supaya memelihara hati kita yang besarnya hanya seketul daging, akan tetapi membawa impak yang besar bagi memandu kehidupan ini.
mudah-mudahan tazkirah ringkas ini sedikit sebanyak menjadi peringatan buat kita semua.. insyaAllah.. wallahu a'lam..
0 comments: