-
Tuntutan Menutup Aurat Adalah Perintah Allah Subhanahu Wa Ta‘ala
Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mewajibkan lelaki mahupun perempuan untuk menutup aurat mereka dan menggariskan cara-cara menutup aurat itu. Tuntutan menutup aurat ini adalah perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Memakai pakaian yang menutup aurat sebagaimana yang digariskan oleh syara‘ bererti mentaati perintahNya. Bilamana menutup aurat merupakan suatu ketaatan, maka memakai pakaian yang mendedahkan aurat pula merupakan suatu kederhakaan.
Tuntutan menutup aurat ini tidak boleh dipandang ringan.
Ancaman dan balasan Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap mereka yang tidak melaksanakan atau tidak memperdulikan tuntutan menutup aurat itu adalah sangat keras. Antara akibat
melanggar tuntutan ini ialah laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka yang melakukan penderhakaan terhadap perintahNya itu tidak akan masuk syurga, bahkan bau syurga pun tidak dapat dihidu oleh mereka, sebagaimana yang ditegaskan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya,iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh).”
(Hadits riwayat Muslim)
Oleh itu, kita hendaklah mengenakan pakaian untuk menutup aurat sebagaimana yang disuruh syara‘ kerana mentaati perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bukannya kerana tuntutan fesyen semasa atau kesesuaian tempat dan keadaan.
0 comments: