Photobucket
  • Membina Dan Memelihara Cinta

    “Bagaimana andai selepas bertunang setelah sekian lama, dia tidak suka lagi pada kita? Suka pada orang lain”, soal Kak Raiha tiba-tiba.


    “Jangankan semasa bertunang kak. Orang berkahwin pun boleh pudar cintanya”.

    “Betul juga”.

    Persoalan tergantung. Tidak berjawab.

    Masing-masing diam. Mata memandang ke tingkap merenung titisan hujan yang lebat.

    Aksesori Cinta

    “Sememangnya rasa suka yang memutikkan cinta itu perlu. Namun, cinta sahaja tidak menjamin”, Kak Raiha memecahkan kesunyian.

    “Maksud akak?”.

    “Cinta perlukan aksesori sampingan. Rasa cinta perlu hadir dengan rasa tanggungjawab”.

    “Aksesori lain ialah kepercayaan”, tambah Kak Raiha lagi.

    Saya semakin mengerti apa yang Kak Raiha cuba sampaikan.

    “Rasa tanggungjawab dan kepercayaan ini tidak akan wujud andai tidak rasa diri berTuhan. Cinta jadi tidak berperaturan. Cinta yang jauh dari berpaksikan Tuhan”, saya cuba membuat kesimpulan.

    “Benar. Andai cinta berpaksikan Tuhan, barulah lahir cinta sejati yang menyembuhkan, bukan menyakitkan. Bukan cinta buta buatan manusia”.


    Cinta Tanpa Tanggunjawab

    “Remaja kini terdedah dengan cinta, namun cetek ilmu menguruskannya. Tanpa ilmu, sukar melahirkan rasa tanggungjawab”, Kak Raiha cuba menghuraikan aksesori pertama.

    “Tanpa rasa tanggungjawab, si teruna tidak bersifat melindungi kaum wanita. Kaum wanita pula sewenang-wenangnya menyerahkan jiwa dan raga”.

    Saya diam mendengarkannya. Realiti yang harus diterima. Realiti bahawa ramai remaja yang terlibat dengan cinta di awal usia, terjebak dengan maksiat dan zina. Realiti yang bimbang lagi meresahkan.

    Dengan rasa tanggungjawab yang tinggi, si lelaki akan menghormati wanita dengan tidak merosakkannya. Kesuciannya dipelihara sehinggalah dihalalkan melalui lafaz janji `aku terima nikahnya`. Rasa tanggungjawab yang tinggi juga membentengi diri seorang wanita untuk memelihara kehormatan diri dan rahimnya. Wanita bertanggungjawab untuk mempertahankan dirinya untuk suami yang halal buatnya. Memelihara kesucian rahimnya untuk zuriat yang bakal dilahirkannya.

    “Cinta yang Allah gariskan bukanlah untuk menyekat. Cinta berperaturan untuk meningkatkan darjat. Cinta ekslusif!”, pesanan berharga buat remaja mabuk bercinta.

    “Cinta tanpa tanggungjawab juga boleh menyebabkan rumah tangga porak peranda”, Kak Raiha mengubah konteks, daripada isu remaja kepada keluarga.

    “Dengan mudah, si ayah mahupun ibu boleh `mencintai` orang lain. Bayangkan, andai ibu ataupun bapa sibuk menunaikan tanggungjawab yang tidak pernah selesai terhadap pasangan dan anak-anaknya, soal `terjatuh cinta` dengan orang ketiga pasti dapat dielakkan. Memanglah cabarannya sentiasa ada. Namun, boleh dielakkan!” Kak Raiha sedikit emosi. Tidak adil, tetapi ingin bercinta lagi.

    “Setuju kak. Sekalipun suami dan isteri saling mencintai. Tanpa tanggungjawab, selama manakah cinta dapat bertahan agaknya. Cinta dan sayang terhadap anak-anak juga perlu dinilai dengan tanggungjawab”.

    “Benar. Anak-anak juga harus punya cinta yang penuh tanggungjawab terhadap ibu bapa”. Peranan anak-anak pula disentuh.

    “Bagaimana pula tu?”.

    “Anak-anak zaman kini kadangkala sibuk bekerja. Tiada masa untuk bersama ibu bapa”.

    “Sekalipun ibu dan bapa pernah melakukan kesilapan ataupun mempunyai kekurangan dalam mendidik kita, jangan menyimpan dendam. Biarlah kekurangan itu dinilai Allah. Lihat perkara positif pada ibu bapa kita. Selain kuasa Allah, jika bukan jasa mereka, masakan kita hidup sehingga kini. Dibesarkan dan dijaga”.

    “Andai semua pihak melihat cinta disertai tanggungjawab, insyaAllah tidak timbul masalah. Masing-masing akan fokus pada memberi. Bukan menuntut hak”, saya cuba membuat kesimpulan mengakhiri perbualan.

    “Benar, cinta pada Allah juga menuntut kita untuk menzahirkannya. Laksanakan tanggungjawab sebagai hambaNya yang bertaqwa”.

    Dicintai Dan Dipercayai

    Selain cinta dengan rasa tanggungjawab, cinta juga perlu lengkap dengan mempercayai.

    Boleh anda bayangkan hidup tanpa wujud rasa percaya pada orang lain. Tidak percaya orang lain boleh melaksanakan tanggungjawabnya. Tidak percaya orang lain boleh menyimpan rahsia. Bermacam-macam lagi. Tanpa rasa percaya, sukar untuk hidup bahagia. Asyik resah tidak menentu hala.

    Justeru, mempercayai itu amat penting dalam memelihara hubungan. Mempercayai seseorang bukan sahaja membuatkan diri kita tenang, bahkan membuatkan diri orang yang dipercayai itu lebih yakin.

    Soalnya ialah bagaimana untuk membuatkan diri ini dipercayai sekaligus membina kepercayaan. Kemudian, bagaimana untuk memelihara kepercayaan itu sepanjang perhubungan?

    Saya kira, membina kepercayaan mengambil masa. Memulihkan kepercayaan lebih banyak mengambil masa!

    Sebelum menjalin hubungan, kepercayaan boleh mula dipupuk. Syaratnya ialah dengan tidak bermuka-muka ataupun berlakon. Lihatlah pada akhlak dan ibadahnya. Andai si dia menjaga hubungannya dengan Allah dan manusia, insyaAllah, apabila bersama kelak, kepercayaan itu sudah terbina.

    Bayangkan seorang lelaki yang matanya liar memandang wanita lain. Apakah kita percaya selepas berkahwin kelak, dia akan menundukkan pandangnya?

    Bayangkan seorang wanita yang tidak segan silu bertepuk tampar dengan lelaki yang haram buatnya. Apakah selepas bernikah kelak, dia akan menjadi wanita pemalu yang memelihara kelakuannya?

    Bayangkan seorang teman yang suka mengumpat orang di sana-sini. Apakah kita yakin, kita tidak akan diumpatnya selepas menceritakan masalah kepadanya?

    Ya, benar, manusia boleh berubah dengan izin Allah. Namun, kepercayaan sudah tercalar. Sukar!

    Binalah kepercayaan sebelum menjalin hubungan. Kemudian peliharalah kepercayaan itu. Sekali tercalar, mengambil masa untuk memulihkannya.

    Cinta Perlu Disuburkan

    Cinta perlu ada rasa tanggungjawab dan mempercayai. Semacam kering sahaja bunyinya. Serius dan tidak berwarna-warni. Disebabkan itulah, cinta sesama manusia ini perlu disuburkan dengan kata-kata dan sentuhan. Sentuhan fizikal mahupun jiwa.

    Memuji sahabat tentang kelebihan dan sifat positif dirinya.

    Membelai anak yang sudah remaja dengan kasih dan mesra.

    Menghadiahkan bunga buat isteri tercinta.

    Menggantikan bebelan dengan kata-kata semangat buat suami tatkala perkahwinan bertambah usia.

    Mengusap wajah ibu dan ayah yang sudah tua dan tidak berdaya.

    Bermacam-macam perkara yang boleh dilakukan untuk menyuburkan hubungan sesama manusia melalui sentuhan dan kata-kata. Kadangkala, kita yang tidak amalkannya. Lama-kelamaan, bertukar menjadi kekok. Kemudian, dilabel buang tabiat. Parah!

    Mari kita hayati kembali sirah. Kisah cinta manusia paling agung. Cinta Rasulullah terhadap isterinya. Cinta bukan dalam bentuk `segera`. Cinta Rasulullah disertai usaha yang dibajai sentuhan dan kata-kata. Dengan izin Allah, mencairkan hati, menyentuh jiwa.

    Tatkala isteri tidur nyenyak kepenatan, Rasulullah memilih untuk tidur diluar, kerana kasihan.

    Rasulullah juga tidak kekok meringankan beban isteri dalam menguruskan rumah tangga.

    Pernah satu ketika, hidung Saidatina Aisyah dipicit. “Sabar dahulu ya Humaira”, kata nabi seraya memicit hidung Aisyah. Sentuhan mesra untuk menyabarkan dan meredakan.

    Rasulullah dan isterinya saling menasihati, bersama-sama memperbaiki diri.

    Biji benih gred A, andai tidak dibaja dan dijaga, masakan dapat menghasilkan buah yang sedap. Samalah halnya dengan cinta, andai tidak dibaja, masakan dapat terus kekal bahagia.

    Cinta itu perlu, namun cinta semata-mata tidak membawa ke mana. Permulaan yang baik itu tidak menjamin kesudahan yang baik, tanpa baja dan dijaga.

    Semoga kita sama-sama dapat amalkan tatkala diri menjalin cinta sesama makhluk menuju cinta kepadaNya.

    www.iluvislam.com
    NuurZaffan

    *Dipetik dari blog penulis http://zaffankhalid.iluvislam.com

0 comments:

Leave a Reply

Muhasabah Diri Bersama

Siapakah orang yang sombong?
Orang yang sombong adalah orang yang di beri penghidupan tapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Alaamin, Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.


Siapakah orang yang telah mati hatinya?
Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat Qur'an, Hadith dan cerita2 kebaikan namun merasa tidak ada apa2 kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.


Siapakah orang dunggu kepala otaknya?
Orang yang dunggu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.


Siapakah orang yang kuat?
Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia di dalam kemarahan. Siapakah orang yang lemah? Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu.


Siapakah orang yang bakhil?
Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah s. a. w.


Siapakah orang yang buta?
Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Qur'an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya


Siapakah orang yang tuli?
Orang yang tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.


Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a. s.


Siapakah orang yang manis senyumanya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang di timpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata, "Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.


Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?
Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.


Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak loba akan kenikmatan dunia yang sementara ini.


Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.


Siapakah orang yang pandai?
Orang yang pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi


Siapakah orang yang bodoh?
Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan.


Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?
Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya.


Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?
Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.


Siapakah orang yang gila itu?
Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya


Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.


Siapakah orang yang selalu ditipu?
Orang yang selalu di tipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.


Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik


Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang


Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.


Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka