Photobucket
  • Hati umat Islam berkarat jika meninggalkan zikir
    Jiwa manusia yang selalu ingat Allah sentiasa bening, tenang walaupun banyak masalah hidup

    ORANG dalam hatinya terpancar keimanan kukuh, akan selalu giat berusaha sepanjang langkah usianya untuk bertaqarub kepada Allah kerana didorong rasa cinta mendalam terhadap-Nya. Kasih sayang dan kecintaan kepada Allah menjadikan seseorang itu sentiasa rindu pada-Nya.

    Ibarat seorang anak muda sedang mabuk asmara, selalu terkenang-kenang si buah hatinya. Orang yang beriman, ingatannya tetap bergetar tulus kepada-Nya tanpa mengira waktu dan tempat. Bagi mukmin sejati, zikir dan hati adalah satu nyawa, tidak boleh dipisahkan.

    Ia ditegaskan Ibn Taimiyah: “Zikir bagi hati adalah umpama air bagi ikan, bagaimana keadaan ikan apabila berpisah daripada air?”

    Inilah gambaran orang beriman, yakin percaya kepada Allah dan menginsafi diri tidak lebih sebagai seorang hamba sangat lemah yang selama ini menerima nikmat Allah tidak terhitung banyaknya.

    Hal ini menepati firman Allah yang bermaksud:
    “Wahai orang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.” (Surah al-Ahzab, ayat 41-42)


    Kebanyakan masyarakat faham zikir hanya kata-kata yang dilafazkan saban kali habis menunaikan solat fardu, solat sunat atau membisik doa ketika ingin makan, memulakan sesuatu kerja yang baik, terjaga dan tidur serta bersin.

    Padahal hakikat zikir kepada Allah sebenarnya tidak tertentu kepada zikir lisan semata-mata seperti mana ditegaskan Al-Imam An-Nawawi, bahawa zikir tidak terbatas kepada tasbih, tahlil, takbir dan lain-lain zikir lisan, mereka yang bekerja kerana Allah juga orang yang berzikir kepada Allah.

    Pendapat beliau disokong Basri Ibrahim Al-Azhari dalam bukunya Salah Faham Terhadap Konsep Ibadah, Ilmu dan Zikir, bahawa setiap orang yang taat kepada Allah, mengikut segala diperintahkan dan meninggalkan dilarang oleh-Nya dikira sebagai orang yang berzikir.

    Zikir terbahagi kepada tiga bahagian iaitu zikir hati, lidah dan anggota. Zikir hati memikirkan keagungan dan kebesaran Allah di bumi, langit dan seluruh kejadian makhluk-Nya. Zikir lidah pula melantunkan puji-puji kepada Allah, mensyukuri nikmat kurniaan-Nya, menyeru masyarakat ke arah ajaran Islam, menerangkan kebaikan syarak, menjelaskan hikmah pada perintah dan larangan Allah, memberi nasihat kepada sesama Islam.

    Sementara zikir anggota pula menggunakan anggota badan untuk melakukan amalan ketaatan, sama ada dalam bentuk melakukan segala suruhan atau meninggalkan segala larangan Allah.

    Orang yang lupa atau lalai kepada Allah, hatinya selalu dirundung resah gelisah, tenggelam dalam kebimbangan dan sengaja meletakkan dirinya di tempat mengundang kemurkaan Allah lantaran tidak rasa bersalah terhadap kemungkaran dilakukan.

    Lupa kepada Allah menandakan hati seseorang itu sudah berkarat dengan sifat mazmumah yang sangat keji.

    Orang beriman tidak akan membiarkan hatinya berkarat dan penuh dengan kekotoran, ia akan sentiasa menggilap hatinya dengan berzikir kepada Allah.

    Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah pernah berkata: “Tidak dimungkiri bahawa hati itu dapat berkarat seperti berkaratnya besi dan perak. Alat yang dapat membersihkan hati berkarat adalah zikir. Zikir dapat membersihkan hati berkarat sehingga dapat berubah menjadi bening seperti cermin yang bersih. Apabila seseorang meninggalkan zikir, hatinya akan berkarat. Dan apabila ia berzikir, hatinya akan bersih.”

    Sesungguhnya seseorang yang lalai daripada mengingati Allah bermakna dirinya dihinggapi penyakit sombong, lupa asal kejadian diri sebagai makhluk lemah yang diciptakan semata-mata supaya mengabdikan diri kepada-Nya dan mewarisi sifat orang munafik.

    Firman Allah yang bermaksud:
    “Sesungguhnya orang munafik itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan, apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riak (dengan solat) di hadapan manusia. Dan, tidaklah mereka menyebut Allah, kecuali sedikit sekali.” ? (Surah an-Nisa, ayat 142)


    Setiap mukmin sewajarnya menjadikan zikir sebagai sesuatu yang tidak terpisah daripada kehidupan seharian kerana banyak keistimewaan bakal diterima oleh orang yang sentiasa berzikir.

    Kitab Tanbih al-Ghafilin menyatakan lima kelebihan dan faedah berzikir, iaitu mendapat keredaan Allah, menambahkan kesungguhan melaksanakan ketaatan, terkawal daripada hasutan syaitan, melembutkan hati dan mencegah daripada melakukan maksiat.

    Orang yang memperbanyakkan zikir, dosanya akan diampuni sekali gus mendapat ganjaran pahala besar seperti firman yang bermaksud:

    “Lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Aku sudah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab, ayat 35)


    Orang yang selalu ingat kepada Allah jiwanya menjadi bening dan tenang, sekalipun sedang menghadapi banyak permasalahan hidup, ujian, musibah dan seumpamanya. Firman Allah yang bermaksud:
    “Ingatnya, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Ra’ad, ayat 28)


    Sesungguhnya dengan selalu ingat kepada Allah, akhlak diri menjadi indah dan menarik, sekali gus menjadi cermin bagusnya nilai ajaran Islam dan hebatnya orang mukmin pada mata orang bukan Islam seperti pernah ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

    Jangan jadikan sibuk dengan urusan kehidupan di dunia sebagai alasan lupa kepada Allah. Sungguh Allah melarang keras seseorang memiliki sifat lalai seperti ditegaskan firman yang bermaksud:

    “Janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raf, ayat 205)


    P/s: Artikel ini diambil daripada website http://nurjeehan.hadithuna.com untuk kita kongsi bersama.. dan sama-sama kita ambil pengajaran dengan apa yang disampaikan.. mudah-mudahan kita tidak menjadi orang-orang yang lalai.

    more
  • tazkirah subuh:peranan hati
    Bismillah..Assalamualaikum wrt wbt, selamat pagi saya ucapkan..kepada semua pembaca, semoga sentiasa bersama-sama keredhaan Allah swt.

    InsyaAllah pagi ini saya ingin menyentuh sedikit berkenaan HATI dan PERANANNYA.

    Hati itu adalah seketul daging yang kecil di dalam badan yang besar. Walaupun bentuknya kecil, akan tetapi pengaruh dan peranannya terlalu besar di dalam kehidupan seharian yang bernama Manusia. Kerana, hati inilah yang menentukan perbuatan sesuatu perkara, samaada ada sesuatu perkara yang dianggap besar ataupun kecil, jahat atau baik dan sebagainya. Maka, disebabkan peranannya yang terlalu besar di dalam mencorak dan membentuk kehidupan insani inilah, Nabi Muhammad saw berpesan kepada kita melalui sabdanya supaya kita sentiasa berusaha untuk mensucikan hati dan memeliharanya daripada fitnah dan kesesatan. Kesemua perkara telah jelas dengan apa yang telah disabdakan oleh Baginda saw:
    "Dan ketahuilah bahawa pada setiap jasad itu ada seketul daging sekiranya ia baik, baiklah seluruh jasad itu, dan sekiranya ia rosak, rosaklah seluruh jasad itu"


    kefahaman yang boleh disimpulkan melalui hadis Baginda saw ini, segala-segalanya bermula dari hati, samaada perkara-perkara yang terdetik di dalam hati itu perkara-perkara yang baik ataupun sebaliknya. Dan, kerana hatilah berpunca gerak-geri dan perilaku manusia.

    Jikalau ianya boleh diibaratkan kepada sebidang tanah ataupun ladang tanaman, dan anggota badan manusia pula iibaratkan seperti tumbuh-tumbuhannya. Bila tanah itu tidak subur atau kering kontang(keras), tentulah tumbuh-tumbuhan tidak dapat menghasilkan penghasilan yang baik.

    Oleh yang demikian, bolehlah sekiranya saya katakan sebagai kesimpulannya, seluruh perilaku manusia ini bergantung kepada apa yang diniatkan di dalam hatinya. Maka, jelaslah, mengapa hadis tadi menganjurkan kepada kita supaya memelihara hati kita yang besarnya hanya seketul daging, akan tetapi membawa impak yang besar bagi memandu kehidupan ini.

    mudah-mudahan tazkirah ringkas ini sedikit sebanyak menjadi peringatan buat kita semua.. insyaAllah.. wallahu a'lam..

    more
  • akan mati? ya....
    Bismillah wal-hamdulillah..

    Setiap makhluk pasti mati. Firman Allah: "Setiap mahkluk yang bernyawa pasti akan merasai mati" Percayalah dengan jazam. Macam mana rasa mati? Ya, mungkin sebab itulah kita masih bersuka-ria, hanya orang yang mati sahaja merasai keperitan sakaratul maut. Itu belum lagi azab kubur. Belum lagi cerita himpunan di Padang Mahsyar dan cerita ghaib alam akhirat yang hanya Allah sahaja tahu. Ingat mati akan bawa keinsafan. Persiapan yang sedia ada pasti belum cukup untuk dibawa ke akhirat. Percayalah. Mati dalam Husnul Khathimah adalah matlamat kita. Takutnya kita jika kita mati dalam keadaan Su-ul Khathimah. Nauzubillah.

    Sebab itulah kita diajar dengan doa-doa supaya mati kita di dalam Husnul Khathimah. Doanya yang berbunyi "Ya Allah akhirilah kehidupan kami dengan Husnul Khathimah, dan Janganlah Engkau akhiri kami dengan keadaan Su-ul Khathimah"

    Jadi, secara ringkas cukuplah sekadar tazkirah ringkas ini sebagai renungan kita bersama dalam meniti kehidupan yang tidak tahu bila sebenarnya ajal akan tiba. entah esok, lusa Wallahu a'lam..

    more
Muhasabah Diri Bersama

Siapakah orang yang sombong?
Orang yang sombong adalah orang yang di beri penghidupan tapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Alaamin, Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.


Siapakah orang yang telah mati hatinya?
Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat Qur'an, Hadith dan cerita2 kebaikan namun merasa tidak ada apa2 kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.


Siapakah orang dunggu kepala otaknya?
Orang yang dunggu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.


Siapakah orang yang kuat?
Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia di dalam kemarahan. Siapakah orang yang lemah? Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu.


Siapakah orang yang bakhil?
Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah s. a. w.


Siapakah orang yang buta?
Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Qur'an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya


Siapakah orang yang tuli?
Orang yang tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.


Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a. s.


Siapakah orang yang manis senyumanya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang di timpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata, "Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.


Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?
Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.


Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak loba akan kenikmatan dunia yang sementara ini.


Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.


Siapakah orang yang pandai?
Orang yang pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi


Siapakah orang yang bodoh?
Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan.


Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?
Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya.


Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?
Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.


Siapakah orang yang gila itu?
Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya


Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.


Siapakah orang yang selalu ditipu?
Orang yang selalu di tipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.


Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik


Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang


Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.


Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka