Photobucket
  • Syed Qutb Penyemarak Perjuangan Islam


    LATAR BELAKANG KELUARGA

    Syed Qutb dilahirkan pada 9 Oktober 1906 di sebuah kampung di wilayah Assyut, Mesir. Beliau mendapat didikan awal di rumah daripada kedua ibu bapanya yang kuat beragama. Sewaktu berusia 6 tahun, beliau dihantar ke sekolah rendah di kampungnya. Sewaktu berusia 7 tahun, beliau mula menghafal al-Qur’an. Sewaktu usianya 10 tahun, beliau telah berjaya menghafalnya.

    KEHIDUPAN AWAL DI QAHIRAH

    Sewaktu berusia 15 tahun, Syed Qutb mulai berhijrah ke kota Qahirah. Di sini beliau telah memasuki Sekolah Perguruan Abdul Aziz. Setelah menamatkan pengajian, beliau segera bertugas mengajar di sebuah sekolah rendah. Walaupun hatinya memberontak untuk meneruskan pengajian, namun beliau terpaksa memendamkan hasrat hatinya kerana terpaksa menyara hidup keluarganya, lantaran bapanya telah meninggal dunia semasa Syed Qutb sedang menuntut di sekolah perguruan.


    Pada tahun 1928, sewaktu berusia 22 tahun, Syed Qutb menyambung semula pengajiannya. Beliau memasuki sekolah persediaan untuk memasuki Darul Ulum, Universiti Qahirah. Pada tahun 1930 beliau diterima memasuki Darul Ulum mengikuti pengajian Bahasa Arab dan Ulum al-Syari’ah.


    Setelah menamatkan pengajian di Darul Ulum, beliau bertugas sebagai Nazir di Kementerian Pendidikan Mesir. Sebagai seorang pegawai kerajaan, beliau serius dalam menjalankan tugasnya. Beliau merancang berbagai pembaharuan di Kementerian Pendidikan. Oleh itu beliau melakukan kajian demi kajian serta mengemukkaan cadangan tanpa menghiraukan risikonya. Selain daripada terlibat dalam bidang pendidikan, beliau juga berminat dengan politik dan dunia penulisan. Beberapa pandangan politiknya yang tidak selari dengan polisi kerajaan telah dimuatkan di dalam beberapa majalah. Ini menimbulkan kemarahan kepada Menteri Pelajaran, lantas mengarahkan agar Syed Qutb dihantar “berkursus” di Amerika Syarikat.


    Sementara dalam bidang penulisan, pada peringkat awalnya beliau lebih berminat dengan bidang kesusasteraan sehingga menjadi salah seorang sasterawan Mesir yang terkenal.


    Bagaimanapun, semenjak awal dekad 1940-an, satu era baru telah bermula dalam kehidupan Syed Qutb. Era ini boleh dikatakan sebagai era kesedarannya kembali kepada Islam. Namun pada peringkat ini beliau masih bergerak secara peribadi dalam usahanya menegakkan nilai-nilai Islam. Di dalam penulisan, beliau mula menulis suatu rencana bersiri, kemudian dibukukan dengan tajuk “At-Taswir Fanni Fil Qur’an” pada tahun 1939. Tulisan ini mengupas keindahan dan kesenian yang terdapat di dalam ayat-ayat al-Qur’an. Pada tahun 1945 beliau menulis sebuah buku bertajuk “Masyahidul Qiamah Fil Qur’an”. Kedua-dua penulisan itu telah menemukan semula dirinya dengan didikan asas agama oleh kedua orang tuanya sewaktu kecil dahulu.


    Seterusnya pada tahun 1948, Syed Qutb telah menghasilkan sebuah buku kemasyarakatan Islam berjudul “Al-Adalah Al-Ijtima’iyyah Fil Islam”. Menerusi buku ini, Syed Qutb menyatakan dengan jelas bahawa keadilan masyarakat sejati hanya akan tercapai apabila melaksanakan sistem Islam.


    SYED QUTB BERSAMA IKHWAN AL-MUSLIMIN

    Peringkat terakhir daripada perjalanan hidup Syed Qutb bermula daripada tahun 1951, tahun penyertaannya ke dalam jama’ah Ikhwan al-Muslimin, sehingga ke tahun kesyahidannya tahun 1966. Bagi Syed Qutb, tempoh itu sangat penting baginya. Beliau sendiri menganggap tahun 1951 sebagai tahun kelahirannya semula.


    Syed Qutb menyertai jamaah Ikhwan al-Muslimin, dua tahun sesudah kematian pengasasnya Imam al-Syahid Hassan al-Banna pada tahun 1949. Mereka berdua tidak pernah bertemu walaupun dilahirkan di tahun yang sama 1906, dan dididik di tempat yang sama, di Darul Ulum.


    Namun di antara mereka mempunyai kesatuan jiwa dan wahdatul-fikr. Bagi Hassan al-Banna setelah membaca buku “Al-’Adalah Al-Ijtima’iyyah Fil Islam”, karangan Syed Qutb, beliau menganggap pengarangnya (Syed Qutb ) adalah sebahagian daripada kita ( Al-Ikhwan ). Seterusnya Imam al-Banna telah menyakinkan para pemuda Ikhwan bahawa “orang ini” (Syed Qutb) akan menyertai al-Ikhwan tidak lama lagi.


    Syed Qutb juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Hassan al-Banna. Malah kematian al-Banna sangat terasa kepadanya walaupun beliau belum pernah bersama dengan al-Banna. Berita kematian al-Banna diterimanya dengan perasaan tragis sewaktu berada di sebuah hospital di Amerika Syarikat. Berbeza dengan sikap orang-orang Amerika yang bergembira dan bagaikan berpesta menyambut berita tersebut.


    Sekembalinya dari Amerika Syarikat, Syed Qutb terus mengkaji kehidupan al-Banna dan membaca seluruh risalah karangannya. Beliau akhir menemui suatu “kebenaran” yang wajib diperjuangkan. Seterusnya beliau berjanji dengan Allah untuk memikul amanah perjuangan Hassan al-Banna.


    Oleh itu, pada tahun 1951 Syed Qutb dengan rasminya menyertai Ikhwan al-Muslimin. Pada tahun 1952, beliau dipilih menganggotai Maktab Irsyad dan dilantik mengetuai Lujnah Dakwah. Selepas peninggalan al-Banna, Ikhwan masih bertenaga kerana memperolehi saf kepimpinan yang berwibawa untuk meneruskan kepimpinan. Mereka adalah Hasan Hudhaibi sebagai Mursyidul Am, Abdul Qadir Audah sebagai Setiausaha Agung dan Syed Qutb sendiri yang mengetuai Lujnah Dakwah, dianggap sebagai “ideolog” kepada Ikhwan al-Muslimin.


    Sepanjang tempoh memimpin Lujnah Dakwah, Syed Qutb telah menghasilkan beberapa karya yang berasaskan dakwah dan pemikiran Aqidah Islam. Antaranya ;
    1- Hadha al-Din.
    2- Al-Mustaqbal li hadha al-Din.
    2- Khasa’is al-Tasawwur al-Islamiyy.
    3- Maalim fi al-Tariq.
    5- Tafsir Fi Zilal al-Qur’an.


    Mesej utama yang ditekankan oleh Syed Qutb di dalam penulisannya ini ialah konsep al-Tauhid dari sudut al-Uluhiyyah. Menurutnya kemuncak kepada Tauhid Uluhiyyah Allah swt. ialah hakNya dari sudut al-Hakimiyyah dan al-Tasyri’. Menurutnya lagi bahawa ikrar Lailaha ilalLah adalah pernyataan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang berkuasa di atas muka bumiNya. Maka seluruhnya itu mesti dikembalikan kepada hakNya.


    Pada bulan Julai 1952, satu peristiwa bersejarah berlaku di Mesir iaitu “Revolusi Julai 1952″. Revolusi ini menggulingkan pemerintahan beraja Mesir, dijayakan oleh gerakan “Dubbat al-Ahrar” pimpinan Kolonel Jamal Abdul Naser dengan kerjasama Ikhwan al-Muslimin.


    Sesudah revolusi, Syed Qutb telah ditawarkan dengan jawatan Menteri Pelajaran Mesir. Syed Qutb terlebih dahulu meminta jaminan daripada pemimpin Majlis Revolusi yang diketuai oleh Jamal Abdul Naser dan Anwar Sadat, bahawa Kerajaan Revolusi Mesir akan melaksanakan pemerintahan berdasarkan syariat Islam. Bagaimanapun mereka menolaknya untuk melaksanakan pemerintahan Islam. Berdasarkan kepada penolakan tersebut, Syed Qutb merasakan perkara tidak baik akan berlaku.


    Sejarah membuktikan apa yang dibimbangkan oleh Syed Qutb memang terjadi. Pada13 Januari 1954, Kerajaan Revolusi Mesir telah mengharamkan Ikhwan Muslimin dan para pimpinannya telah ditangkap di atas tuduhan gerakan Ikhwan sedang merancang hendak menggulingkan kerajaan revolusi, satu tuduhan yang tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Ekoran daripada itu tujuh orang pimpinan tertingginya dijatuhi hukuman mati, termasuk Hasan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah dan Syeikh Mohamad Farghali,ketua sukarelawan Mujahidin Ikhwan al-Muslimin di dalam Perang Suez 1948. Bagaimanapun hukuman terhadap Hasan Hudhaibi dipinda kepada penjara seumur hidup dan Syed Qutb pula dihukum penjara lima belas tahun dengan kerja berat.


    Pada tahun 1964, Syed Qutb telah dibebaskan di atas permintaan peribadi Abdul Salam Arif, Presiden Iraq. Kerajaan Revolusi Mesir bagaimanapun tidak berpuas hati dengan pembebasan tersebut. Apabila Presiden Abdul Salam Arif terkorban dalam satu kemalangan udara, Syed Qutb ditangkap semula pada tahun berikutnya. Tangkapan kedua ini dibuat berdasarkan tuduhan beliau merancang satu rampasan kuasa baru untuk menggulingkan kerajaan.


    Pertuduhan ke atas Syed Qutb di Mahkamah Revolusi dibuat berdasarkan buku-bukunya terutama Maalim Fi al-Tariq. Ia berdasarkan kenyataannya mengenai seruan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang tidak berdasarkan Syari’at Allah.


    Bersama Syed Qutb kali ini, turut juga ditahan ialah seluruh anggota keluarganya. Syed Qutb seorang yang bermaruah. Sebelum hukuman gantung dilaksanakan ke atasnya, Presiden Naser menghantar utusan menemui Syed Qutb. Melalui utusan itu Presiden Naser meminta agar Syed Qutb menulis kenyataan meminta ampun daripadanya agar Syed Qutb dibebaskan. Namun Syed Qutb dengan tegas menjawab;

    ”Telunjuk yang bersyahadah setiap kali bersolat bahawa
    Tiada Ilah yang disembah dengan sesungguhnya melainkan
    Allah dan Muhamad Rasulullah, tidak akan aku menulis
    satu perkataan yang hina. Jika aku dipenjara kerana benar
    aku redha. Jika aku dipenjara secara batil, aku tidak akan
    menuntut rahmat daripada kebatilan”.



    Pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, Syed Qutb telah digantung sampai mati bersama-sama sahabat seperjuangannya, Mohamad Yusuf Hawwash dan Abdul Fatah Ismail. Berita hukuman mati yang dilaksanakan ke atas Syed Qutb telah mengejutkan Dunia Islam. Kebanyakan tokoh dan pimpinan umat Islam sedih dan kecewa dengan peristiwa tersebut(1).

0 comments:

Leave a Reply

Muhasabah Diri Bersama

Siapakah orang yang sombong?
Orang yang sombong adalah orang yang di beri penghidupan tapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Alaamin, Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.


Siapakah orang yang telah mati hatinya?
Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat Qur'an, Hadith dan cerita2 kebaikan namun merasa tidak ada apa2 kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.


Siapakah orang dunggu kepala otaknya?
Orang yang dunggu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.


Siapakah orang yang kuat?
Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia di dalam kemarahan. Siapakah orang yang lemah? Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu.


Siapakah orang yang bakhil?
Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah s. a. w.


Siapakah orang yang buta?
Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Qur'an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya


Siapakah orang yang tuli?
Orang yang tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.


Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a. s.


Siapakah orang yang manis senyumanya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang di timpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata, "Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.


Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?
Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.


Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak loba akan kenikmatan dunia yang sementara ini.


Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.


Siapakah orang yang pandai?
Orang yang pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi


Siapakah orang yang bodoh?
Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan.


Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?
Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya.


Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?
Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.


Siapakah orang yang gila itu?
Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya


Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.


Siapakah orang yang selalu ditipu?
Orang yang selalu di tipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.


Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik


Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang


Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.


Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka